Skip to content Skip to footer

Weststar Beli Lima Helikopter Baharu RM230 juta

LANGKAWI: Weststar Aviation Services memeterai kontrak bernilai 50 juta euro (RM230 juta) bersama Leonardo bagi membeli lima helikopter baharu.

Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim, berkata pembelian itu membabitkan tiga unit helikopter generasi baharu AW169 dan dua unit AW139.

Katanya, semua helikopter itu akan digunakan bagi operasi luar pesisir baharu syarikat iaitu di Arab Saudi dengan kontrak selama 10 tahun dan di Equatorial Guinea di Afrika Barat selama lima tahun.

“Bermula tahun 2014 lalu, syarikat telah merangka satu pelan jangka panjang untuk mengembangkan lagi operasi kita ke luar negara terutama di benua Afrika dan Asia Barat.

“Setakat ini, kita telah beroperasi di dua buah negara di Afrika Barat iaitu di Mauritania dan Maghribi dengan Equatorial Guinea menjadi negara ketiga di rantau ini. Bagi di Asia Barat, ini adalah kali pertama kita berjaya menembusi pasaran di sini.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk memasuki pasaran di sini (Arab Saudi) kerana ia adalah pasaran yang sangat lumayan, namun kita telah berjaya dan sebelah kaki sudah memasuki pasaran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis memeterai kontrak pembelian helikopter dengan Leonardo di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ‘19).

Pada majlis itu, Weststar Aviation Services diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jeneral Tan Sri Ismail Jamaluddin manakala Leonardo oleh Ketua Pegawai Eksekutif Leonardo Helicopters Asia Pasifik, Emilio Dalmaso.

Majlis disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Syed Azman berkata, syarikat sedang memuktamadkan kontrak-kontrak baharu yang dijangka akan ditandatangani pada tahun depan.

“Syarikat merancang untuk menambah 11 lagi helikopter baharu menjelang tahun 2021 dan kebanyakannya akan digunakan untuk operasi kami di negara di Afrika Barat dan di Asia Barat,” katanya.

Weststar Aviation Services adalah antara syarikat global utama dalam industri perkhidmatan helikopter luar pesisir.

Ketika ini, ia mempunyai 35 buah helikopter generasi baharu di bawah kendaliannya.

1 Comment

  • Post Author
    Ashton Porter
    Posted 20 February 2023 at 10:51 AM

    Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.

Comments are closed.