Skip to content Skip to footer

Helikopter Weststar Guna Bahan Api Penerbangan Mampan

Weststar Aviation Services (Weststar) mengambil langkah signifikan ke arah masa hadapan penerbangan yang lebih lestari menerusi kerjasama dengan Petronas Dagangan Bhd (PDB) untuk menggalakkan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk operasi helikopter luar pesisir yang dikendalikannya di seluruh Malaysia.

Kerjasama bersejarah itu diperkenalkan semasa Pameran Penerbangan Selangor 2023, diadakan di SkyPark RAC Selangor pada hari pembukaan pameran berkenaan, sekali gus mengukuhkan lagi komitmen bersama kedua-dua entiti ke arah amalan peka alam sekitar dan penerbangan lestari.

Ia juga mencerminkan dedikasi tidak berbelah bahagi Weststar, penyedia perkhidmatan pengangkutan helikopter luar pesisir terbesar di Asia Tenggara terhadap kelesetarian dan amanalan penerbangan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Weststar, Datuk Wan Hasmar Azim Wan Hassan, berkata syarikat itu sentiasa mengutamakan tanggungjawab alam sekitar.

“Kerjasama dengan PDB menepati secara sempurna matlamat kemampanan kami dan mengukuhkan lagi komitmen kami untuk memberikan pelanggan dengan perkhidmatan penerbangan peka alam sekitar terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, kerjasama antara Weststar dan PDB menetapkan teladan industri yang mantap, menekankan kepentingan amalan kelestarian dan penyumberan bahan api yang bertanggungjawab.

“Menerusi usaha bersama, kami sedang mencarta ke arah masa hadapan penerbangan yang lebih mesta alam sekitar, lebih lestari,” katanya.

SAF yang digunakan bagi kerjasama itu dibekalkan oleh PDB dengan kerjasama Neste, pengeluar utama SAF di dunia.

Weststar memulakan kerjasama itu dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama PDB semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mac lalu.

Weststar adalah syarikat terkemuka dalam industri perkhidmatan helikopter luar pesisir, dengan menyediakan pengangkutan yang selamat dan dipercayai untuk membawa pekerja ke pelantar minyak dan gas serta penggerudian.

Selain Malaysia, ia menyediakan perkhidmatan di Indonesia, Timor Leste, Itali, Equatorial Guinea, Congo, Namibia, Gabon, Mauritania dan Arab Saudi.