SUBANG: MBSB Bhd dilantik sebagai pengatur utama bersama bagi kemudahan pembiayaan bersindiket Islam bernilai RM4.8 bilion yang disediakan kepada The Weststar Group.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef, berkata, selain menjadi pengatur utama bersama melalui MBSB Investment Bank (MBSB IB), kumpulan juga menjadi pembiaya terbesar sebanyak RM1.3 bilion daripada jumlah keseluruhan.
Beliau berkata, langkah itu adalah bagi menyokong pengembangan operasi anak syarikat Weststar iaitu Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WASSB) dalam sektor penerbangan termasuk pembelian sebanyak 28 buah helikopter, modal kerja serta pengurusan risiko tukaran asing.
Katanya, pembiayaan bersindiket Islam itu juga turut akan disertai oleh empat bank tempatan yang lain.
“Pembiayaan MBSB ini terbahagi kepada tiga segmen iaitu pembiayaan berjangka RM978 juta untuk pembelian armada helikopter, modal kerja sebanyak RM200 juta dan pengurusan risiko tukaran asing pada RM100 juta.
“Tiga segmen itu juga turut akan tertakluk kepada empat bank tempatan yang lain dalam pembiayaan bersindiket ini,” katanya selepas majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBSB dan Weststar di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim; Pengerusi Kumpulan MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad dan Pengarah Kumpulan Weststar, Syed Muhammad Azni Syed Azman.
Selain MBSB, empat bank tempatan lain yang terbabit dalam pembiayaan bersindiket adalah Maybank, AmBank, Bank Rakyat dan Bank Pembangunan.
Sementara itu, Syed Azman berkata, pembiayaan bersindiket itu adalah bagi memenuhi kontrak pajakan jangka panjang dengan kerajaan Malaysia untuk menyediakan 28 unit helikopter bagi keperluan operasi sektor awam.
Beliau berkata, ia juga membolehkan kumpulan mengembangkan operasi perniagaan daripada sektor pengangkutan penerbangan luar pesisir kepada penyediaan kepada pelbagai agensi kerajaan.
Katanya, kerjasama strategik itu bukan sahaja akan mewujudkan peluang pengembangan perniagaan, malah turut menyokong objektif nasional dalam membina industri lebih kukuh, menjana peluang pekerjaan, dan meningkatkan daya saing Malaysia di pentas dunia.
Malah, menurutnya dengan pelaburan itu juga, kumpulan mewujudkan tambahan 600 pekerjaan iaitu jurutera dan juruteknik.
“Pada masa ini juga, kita kekurangan tenaga kerja di negara ini. Mendapatkan jurutera pesawat tetap bukan masalah, tetapi untuk jurutera helikopter adalah cabaran.
“Jadi, kami sedang bekerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan tempatan untuk pengukuhan ekosistem,” katanya.
Kerajaan melaksanakan kontrak perjanjian selama 15 tahun dengan Wetstar Aviation Services Sdn Bhd membabitkan helikopter baharu berbanding helikopter pajak melalui program ‘Government Operate, Company Own and Maintain’ (GOCOM) sebelum ini.
Pajakan 28 helikopter bernilai RM16.6 bilion yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan merangkumi pakej menyeluruh termasuk penyelenggaraan dalam dan luar pangkalan, simpanan alat gantian, latihan serta kursus juruterbang dan krew penerbangan serta kos pembiayaan
Mengulas lanjut, Syed Azman berkata, kekuatan Weststar terletak pada keupayaannya untuk berinovasi, mempelbagaikan dan menyesuaikan diri dengan tuntutan ekonomi global yang sentiasa berubah.
Beliau berkata, walaupun penerbangan kekal sebagai teras utama, kumpulan telah berkembang ke dalam pelbagai industri sambil mengekalkan kedudukan sebagai peneraju serantau dalam perkhidmatan helikopter.
Katanya, MoU dengan MBSB itu juga menyediakan rangka kerja strategik kukuh untuk membuka peluang baharu, disokong oleh penyelesaian kewangan inovatif yang amat penting bagi mengekalkan pertumbuhan jangka panjang.
“Dengan memanfaatkan kerjasama ini, kami berhasrat mempercepatkan pengembangan di dalam dan luar negara, meningkatkan daya tahan operasi, serta terus menyumbang kepada daya saing Malaysia di peringkat serantau,” katanya. – Berita Harian