KUALA LUMPUR: Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WASSB) akan menggunakan helikopter Agusta Westland AW189 untuk melaksanakan perkhidmatan kontrak bernilai RM10 juta untuk JX Nippon Oil & Gas Exploration Sdn Bhd.
Helikopter canggih pertamanya itu akan terbang dari Lapangan Terbang Miri untuk mengangkut barangan dan membawa pekerja luar pesisir bagi program penggerudian eksplorasi laut dalam JX Nippon yang terletak 210 batu nautika di luar pantai Sarawak di Laut China Selatan.
Kontrak untuk tempoh tiga bulan dengan opsyen lanjutan itu diputuskan pada Oktober.
Pengarah Pembangunan Perniagaan WASSB Datuk Anuar Noordin berkata, penggunaan helikopter AW189 pengenalan yang tepat pada masanya, selari dengan kehendak industri semasa. Beliau berkata pelanggan kini mempunyai pilihan untuk menjalankan operasi yang lebih berkesan dari segi kos iaitu kos penumpang yang secara perbandingannya lebih rendah.
“Inilah pesawat pertama daripada empat AW189 yang kami tempah,” katanya. – BERNAMA